Tuesday, July 7, 2009

Perbezaan Antara Guru Muzik dan Pendidik Muzik

Bila saja kita menyebut muzik, pasti perkara pertama yang difikirkan ialah "nyanyian" atau "menyanyi". Skop muzik sebenarnya lebih luas daripada itu, malah ia mampu melangkau jangkaan pemikiran seseorang.

Di sekolah-sekolah pula Pendidikan Muzik menjadi salah satu subjek yang mesti dipelajari oleh semua murid. Yang pastinya, setiap sekolah harus mempunyai ' guru-guru muzik'. Tidak kiralah guru-guru muzik tersebut ada mempunyai asas dalam muzik atau pun sekadar "bidan terjun". Kata guru pentadbir yang menyerahkan tugas, "Tak kisahlah, asalkan budak menyanyi sudah...".

Kebiasaannya di sekolah, guru muzik dilabelkan sebagai guru yang pandai menyanyi, pandai main alat muzik, pandai pasang sistem audio, pandai menghibur tapi tanggapan ini tidak boleh diguna pakai kerana bukan semua guru muzik itu pandai atau tahu serba-serbi tentang muzik. Tetapi ada juga guru yang memang hebat dari semua aspek muzikal termasuk nyanyian, permainan alat muzik, tarian, persembahan, hiburan, ciptaan lagu dan lain-lain. Maka di sini timbullah istilah "GURU MUZIK" dan "PENDIDIK MUZIK".
Apakah perbezaan antara pendidik muzik dengan guru muzik? Bolehkah guru muzik disamakan dengan pendidik muzik? Mungkin terdapat sedikit kekeliruan di sini tentang perkara ini. Oleh itu, elok juga kita mentakrifkan istilah "pendidik muzik" dan "guru muzik" di sini.
Individu yang hanya mempunyai kemahiran muzikal tertentu dan mengajar kemahiran itu kepada pelajarnya boleh dilabelkan sebagai Guru Muzik. Berbeza pula dengan individu yang mengajar muzik hanya setelah berpengetahuan dalam beberapa aspek pendidikan serta mempunyai kemahiran muzikal yang baik, - inilah individu yang dikatakan Pendidik Muzik.

Biasanya, pengetahuan tentang aspek-aspek pendidikan muzik boleh diperoleh melalui latihan sistematik atau profesional yang formal. Tetapi pengetahuan ini boleh juga diperoleh oleh guru guru muzik secara individu dengan membaca banyak buku, merujuk artikel-artikel berkaitan muzik serta menghadiri kursus, bengkel atau seminar pendidikan muzik.

Oleh yang demikian, pendidik muzik merupakan individu yang mengajar muzik dengan mempunyai kemahiran muzikal yang baik serta kefahaman tentang aspek-aspek pembentukan kurikulum, psikologi, pedagogi, penilaian, sosiologi dan sejarah yang berkaitan dengan pendidikan muzik.

Dalam hal pembelajaran muzik, golongan pendidik muzik perlu sentiasa menyedari bahawa program muzik di sekolah adalah khas untuk pelajar yang sedang membesar. Oleh itu, usaha-usaha untuk membentuk satu program muzik bagi para pelajar harus sentiasa mengambil kira tentang pengaruh program muzik itu terhadap kehidupan para pelajar tersebut apabila mereka dewasa kelak.

Maka dari itu, bolehlah disimpulkan bahawa pendidik muzik dapat berfungsi sebagai guru guru muzik, tetapi guru muzik tidak boleh dianggap sebagai pendidik muzik !


Bayangan Kelam. - Castle Gothic